425 Honda Civic 1.8S untuk polis
Kota Bharu: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 425 unit Honda Civic 1.8S untuk digunakan oleh unit kereta peronda (MPV).
Kereta yang diperoleh dengan kos RM67 juta oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) itu dilengkapi peralatan komunikasi RMPNet, kamera papan pemuka (dashcam) dan perakam video digital mudah alih (DVR).
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Datuk Zainal Abidin Kasim berkata, aksesori dipasang dalam MPV itu sangat membantu dalam penugasan terutama ketika berdepan dengan sesuatu insiden bagi menunjukkan bukti ketelusan anggota menjalankan tugas mereka.
"Pemasangan aksesori ini membantu mengumpul bukti pemanduan anggota, pada masa sama, ia meningkatkan integriti dalam kalangan anggota ketika penugasan.
"Ada yang mempertikai kenapa anggota (polis) tahan tepi jalan, dalam gelap dan sebagainya, maka apabila ada gambar dan rekod sebegini, kita boleh kesan fitnah yang dibuat," katanya kepada media selepas majlis penyerahan MPV itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ketua Setiausaha KDN Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz di perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini.
PDRM Kontinjen Kelantan menerima 20 unit kereta peronda baharu untuk cawangan MPV dan Unit Polis Pelancong bersama 10 unit lori Hino.
Zainal Abidin berkata, agihan MPV sedang dibuat di setiap kontinjen dan bilangan serahannya adalah bergantung keperluan kontinjen masing-masing.
Menurut beliau, PDRM juga akan menerima 170 unit Proton X70.
"Proton X70 sedang diuji daripada segi ketahanan serta teknikal, proses agihan akan dibuat dalam masa terdekat.
"Kita harap, dengan tambahan ini, ia dapat meningkatkan kecekapan polis dalam menjalankan tugasan," katanya.
