Warga emas dibelasah, disamun
WARGA emas bukan hanya disamun malah dibelasah dua individu dalam kejadian di Jalan Sultan Ibrahim, Johor Bahru minggu lalu.
Dalam kejadian pada 5 pagi itu, warga emas wanita yang tinggal bersendirian sedang tidur sebelum rumahnya dipecah masuk dua penyamun berkenaan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, laporan polis kemudiannya dibuat anak perempuan mangsa pada hari yang sama pada 8.40 pagi.
"Mangsa juga dipukul oleh kedua-dua suspek dengan menggunakan kerusi besi sebelum barangan miliknya iaitu satu telefon bimbit, barangan kemas serta wang tunai dilarikan oleh kedua-dua suspek itu.
"Mangsa dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan kerana mengalami kecederaan bengkak di mata, belakang kepala dan lebam di tangan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Padzli berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes berkenaan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nizam Ramon di talian 011-16086119 atau talian Hotline IPD JBS 07-2182323.
